Salam Ramadhan buat warga Glasgow. Moga sentiasa berada dalam keadaan iman dan amal soleh.
Solat Terawih
Solat terawih merupakan solat yang dianjurkan dalam bulan Ramadhan.
Menurut Abu Hurairah katanya: “ Sesungguhnya Nabi SAW menggalakkan solat terawih tanpa memerintahkannya kerana khuatir ia akan diwajibkan “ . Sabda Nabi SAW yang bermaksud “ Barangsiapa yang mengerjakan solat (tarawih) di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
Menurut Saiditina Aisyah, Nabi SAW mengerjakan solat terawih di masjid lalu orang ramai mengikut Baginda. Begitu juga malam berikutnya.Kaum muslimin berkumpul di masjid pada malam ketiga namun Nabi SAW tidak keluar kepada mereka. Setelah pagi Nabi SAW bersabda “ Aku telah perhatikan tindakan kamu semua, dan tiada yang menghalang aku keluar (untuk bersolat terawih bersama kamu semua) malam tadi melainkan kerana aku takut ia (solat tersebut) akan diwajibkan ke atas kamu”
Solat terawih disunatkan kepada lelaki dan perempuan. Dilaksanakan setelah solat isyak dan sebelum solat witir dibulan Ramadhan.
Solat terawih boleh dilakukan secara bersendirian ataupun secara berjamaah. Namun menurut jumhur ulama, mengerjakannya secara berjamaah di masjid adalah lebih afdhal . Ini kerana dengan pergi ke masjid, lebih banyak amalan lain yang dapat kita lakukan seperti iktikaf dan berjamaah. Langkah-langkah kita ke masjid juga dikira amal soleh.
Oleh itu, marilah KITA mengambil kesempatan di bulan Ramadhan untuk mengerjakan solat terawih kerana tiada terawih dalam bulan selain Ramadhan. KITA cuba laksakannya dengan cara yang terbaik dan afdhal iaitu dengan melakukannya di masjid. Di bulan-bulan lain KITA mungkin tidak banyak kesempatan untuk ke masjid seperti kesempatan dalam bulan Ramadhan ini. Berkunjunglah KITA ke rumah Allah di bulan rahmat dan keampunan ini untuk mengerjakan ibadah kepadaNya.
Jika KITA tiada kesempatan, buatlah di rumah atau di mana-mana saja. Janganlah sampai ada hari yang berlalu tanpa KITA dapat melakukan terawih. Yakinlah KITA dengan janji dari Nabi SAW seperti hadith di atas.
Suami isteri elok berbincang. Jangan pula suami sibuk nak ke masjid sehingga isteri tiada langsung kesempatan mengerjakan terawih kerana disibukkan dengan anak-anak dan sebagainya. Mungkin KITA boleh buat secara giliran, ada malam ke masjid ada malam KITA berterawih di rumah. Isteri juga patut diberi peluang merebut ganjaran Allah. Isteri juga patut member peluang kepada suami bersolat di masjid, sebagai pilihan yang lebih afdhal bagi seorang lelaki.
KITA ke masjid pula, bukan sekadar untuk berbuka puasa. Waktu terawih KITA sudah tidak ada. Mungkin tidak setiap malam, tapi bagi lelaki eloklah cari masa untuk buat terawih di masjid. Tak rugi KITA beri masa KITA kepada Allah.
Bilangan rakaat
Menurut jumhur ulama (kebanyakan ulama) dari mazhab Hanafi dan Hanbali serta pendapat Imam Syafie , bahawa kaum muslimin mengerjakan solat terawih 20 rakaat pada zaman Umar, Uthman dan Ali .
Menurut Mazhab Maliki pula bilangan rakaat solat terawih ialah 36 rakaat. Al Zarqany menyebut penjelasan daripada Ibn Hibban bahawa kaum muslimin pada awalnya bersolat 11 rakaat termasuk witir dengan mereka memanjangkan bacaan. Sebahagian mereka berasa berat, lalu dibuat 20 rakaat dengan bacaan yang lebih sederhana. Kemudian diringankan kepada 36 rakaat dengan bacaan yang pendek.
Jadi buatlah mana-mana yang kita rasa selesa dan lapang.
Mohd Abduh Abu Samah
Ramadhan 1430H/2009M
